• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Maritim Terengganu Rampas Lima Tan Hasil Laut

KUALA TERENGGANU, 16 November - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu berjaya menahan dua bot nelayan asing Vietnam kerana menceroboh perairan negara, sekitar 8.15 malam kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Majid@Razali berkata, penahanan dibuat semasa rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan Terengganu.

"KM Gemia menahan medua-dua bot bersama 21 kru termasuk tekong pada kedudukan kira-kira 59 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Kita juga merampas hasil tangkapan seberat lima tan, peralatan menangkap ikan dan diesel dengan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM3 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Maritim Malaysia Negeri Terengganu, hari ini.

Khairulanuar turut memaklumkan, salah satu bot yang ditahan menggunakan pendaftaran Malaysia dan disyaki menyamar sebagai nelayan tempatan.

Tambahnya, kesemua kru warga Vietnam yang ditahan berumur antara 19 hingga 45 tahun dan gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah.

Bot dan kru kini ditahan Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

 

 

 


Tag: