• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Maritim Terengganu Tenggelamkan Empat Bot Nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu hari ini, melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak Pulau Susu Dara, Besut hari ini.

Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, empat bot itu ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di Pulau tersebut.

Katanya, empat bot ini menggunakan kaedah tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin.

“Simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

“Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2022 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambah Khairulanuar, keempat-empat bot ini ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, proses menenggelamkan kesemua bot ini agak mencabar kerana cuaca yang tidak menentu, hujan lebat dan ombak bergelora selain angin bertiup kencang.

“Ini merupakan pelupusan ke-16 dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 20 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini,” katanya.

Sehingga kini, sejumlah 165 bot telah dilupuskan melalui kaedah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu atau hancur musnah oleh Maritim Negeri Terengganu.

“Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

“Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang- undang di sekitar perairan Terengganu,” ujarnya.

 

 


Tag: