• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Maritim Terengganu Tenggelamkan Tiga Bot Nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu melupuskan tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Kapas, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, pelupusan tiga bot ini sebagai tukun tiruan merupakan sumbangan Maritim Malaysia Negeri Terengganu kepada pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem marin.

Katanya, kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2022 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara hasil Op Naga Barat dan Op Kuda Laut.

“Pelupusan ini merupakan kali ke tujuh dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 13 buah bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini.

“Sehingga kini, sejumlah 156 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambah Khairulanuar, kaedah tukun ini merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

Beliau berkata, program pelupusan kali ini turut melibatkan kerjasama dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara, Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia.

“Berdasarkan laporan kajian biodiversiti dan biomas ikan yang dijalankan telah mengenalpasti perairan Pulau Kapas sebagai lokasi yang produktif untuk pembinaan kompleks tukun tiruan.

"Ia sebagai langkah pemuliharaan sumber perikanan terutama bagi perairan Marang," ujarnya.

 

 


Tag: