• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Masalah Air Serlah Semangat Kejiranan, Perpaduan Antara kaum

KUALA NERUS, 8 September – 'Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat', itulah perumpamaan sesuai terhadap semangat perpaduan merentasi kaum di Kampung Pulai Baru dalam mengharungi Insiden Air Berangan 2.0.

Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, antara usaha dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut adalah penyediaan telaga tiub air.

“Dengan ilham daripada pengerusi JPKK, Lai Liang Qing, sumber air ini telah siap dibina semasa krisis air pertama dengan pihak kami mendapatkan motor bagi kerja menyedut air.

“Selain usaha ini, kita konsisten dalam memastikan kebajikan rakyat berbilang bangsa di Terengganu terus dijaga tanpa mengira pinggiran,” katanya selepas kerja pengagihan bantuan air di Kampung Pulai Baru, Tepoh, pagi semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Menurut Ling Qing, sejumlah 65 rumah terkesan akibat terputus bekalan air pada 23 Ogos lalu.

“Namun begitu, inisiatif oleh Team Mobile Tepoh dalam memastikan komuniti sini sentiasa mendapat air daripada tangka statik adalah memuaskan," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Kam Ah Yong, 72, berkata, bantuan air sentiasa disambung oleh JPKK dan pihak ADUN bagi memenuhi keperluan harian bersama isterinya.

“Liang Qing juga banyak bantu dalam menaikkan air ke rumah memandangkan saya sudah tua dan kita rumah kami terletak di kawasan berbukit,” katanya yang juga bapa kepada dua orang anak.

Jelas Balachandran, pihaknya sentiasa bekerja rapat dengan warga negeri bukan islam dalam menyelesaikan isu keselesaan komuniti bersama pihak berkuasa tempatan.

“Antara inisiatif diadakan seperti kerja kebersihan kampung, pelebaran jalan dan sebagainya.

“Diharapkan agar suatu hari nanti, Kampung Pulai Baru dapat dijadikan contoh simbol perpaduan di Terengganu,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.