• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Masalah Banjir Teluk Kalong Diajukan Ke Kerajaan Pusat

KEMAMAN, 20 Disember – Masalah banjir di Teluk Kalong terutamanya di kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) akan diusulkan kepada kerajaan pusat bagi tindakan lanjut.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, isu tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, hasil lawatan dan pemantauan keadaan serta mangsa banjir di DUN Kijal.

“Isu yang melibatkan lebih 2,000 penghuni, perlu dibawa ke peringkat pusat berkenaan takungan air atau saliran yang tidak mampu menampung aliran air keluar yang banyak, menyebabkan limpahan di tali air berhampiran kawasan perumahan terbabit.

“Saya telah bersetuju dengan ADUN Chukai untuk kita susuli perkara ini kepada menteri berkenaan urusan kerja raya bagi melihat tindakan yang boleh diambil.

“Insya-Allah, saya akan membawa usul ini pada hari rabu depan dalam mesyuarat kabinet,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas lawatan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di Pengkalan Ranggon, Kertih, malam semalam.

Tambah Dr Mohd Khairuddin, anggaran peruntukan RM1.6 juta diperlukan dan beliau sebagai menteri mewakili negeri Terengganu akan menunaikan tanggungjawab yang diberi untuk menjaga negeri.

Sementara itu, beliau turut menasihati rakyat agar berhati-hati dan mengikut arahan yang disampaikan oleh pemimpin negeri seperti dan parlimen bagi memastikan keselamatan nyawa serta harta benda.

“Pihak kerajaan Perikatan Nasional juga sentiasa prihatin terhadap situasi yang berlaku dan akan memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang terkesan tanpa gagal,” ujarnya.


Tag: