• 01 Mac 2024 | 20 Syaban 1445

Masalah Muara Sungai Merang Temui Penyelesaian

KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Isu Muara Sungai Merang akhirnya menemui noktah apabila masalah itu berjaya diselesaikan dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata isu muara sungai itu telah berjaya diselesaikan bermula 10 Mac 2023.

Katanya, penduduk kampung, para nelayan dan para pelancong yang ingin ke pulau Redang juga telah dapat melalui laluan itu.

“Bermula pada 5 Mac lepas, kita telah menerima aduan mengenai perkara tersebut dan beberapa perbincangan juga telah dilakukan dengan penduduk kampung di kawasan terbabit.

“Untuk makluman, muara sungai merang ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan,” katanya ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 5 Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Nurkhuzaini, di kawasan selatan, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) telah memberi kebenaran untuk didalamkan laluan asal terbabit.

Beliau berkata, Terengganu Dredging Sdn Bhd (TDSB) telah menggerakkan dua eskavator pada 5 dan 6 Mac bagi tujuan tersebut namun tidak menemui penyelesaian dan perubahan akibat air pasang surut.

Selepas itu katanya, hasil perbincangan dengan penduduk kampung dan para nelayan, mereka mencadangkan supaya membuka kawasan di bahagian utara.

"Melalui persetujuan tersebut, pihak TDSB telah menggerakkan eskavator ke bahagian utara pula.

“Setelah dikorek laluan tersebut menjadi bahaya kepada bot kerana arus sangat kuat menyebabkan pokok-pokok di tembing tumbang sehingga laluan tidak dapat dilalui," jelasnya.

Di bahagian utara itu, penduduk kampung membuat keputusan untuk menutup laluan bagi memperbaiki kawasan terbabit manakala TDSB terpaksa patah balik untuk membuka laluan di bahagian selatan.

Di samping, Nurkhuzaini berkata, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim turut memberi sumbangan kepada penduduk kampung untuk menjalankan gotong-royong dan menutup laluan tersebut.

“Setelah dua hari kemudian, laluan di bahagian selatan berjaya dilalui dan penduduk kampung serta para nelayan dapat keluar masuk laluan itu.

“Pihak kerajaan negeri juga telah menyediakan dua eskavator sebagai 'maintanaince' kerana pasir sentiasa bergerak dan dikawal oleh TDSB bagi tujuan penggunaan," ujarnya.

Katanya lagi, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pihaknya tidak mengambil inisiatif dalam pemulihan muara sungai tersebut bahkan Kerajaan negeri terlibat sama bermula daripada awal lagi.

Terdahulu, isu muara sungai merang ini menjadi bualan netizen apabila pengusaha pelancong dan para nelayan berdepan kesukaran apabila melalui muara tersebut.

 


Tag: