• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Masalah Tadbir Urus Punca Koperasi Gagal

SETIU, 6 November - Masalah tadbir urus yang berlaku dalam pengurusan menjadi punca sesebuah koperasi mengalami kegagalan.

Ahli Parlimen Satiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, banyak koperasi yang ditubuhkan menghadapi isu penyelewengan yang parah dan menyebabkan mereka gagal maju dan berdaya saing.

Jelasnya, perkara itu akan dapat diselesai jika jawatankuasa audit dalaman bersifat telus dan bertanggungjawab.

"Masalah tadbir urus antara faktor terbesar kepada kegagalan sesebuah koperasi untuk terus berkembang terutama isu penyelewengan yang sering berlaku dalam sesebuah koperasi. 

"Oleh itu, dalam perbahasan tersebut saya ada membangkitkan cadangan agar jawatankuasa audit dalaman yang telus dan bebas wajar ditubuhkan dalam meningkatkan amalan tadbir urus korporat yang baik," ujar beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan kelmarin.

Kerajaan telah membawa satu usul untuk meminda Akta Koperasi 1993 bagi memudahkan organisasi menubuhkan koperasi di seluruh Malaysia.

Shaharizukirnain juga berharap pindaan yang dibawa ini akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia terutamanya saat negara dilanda virus COVID-19.

"Saya berharap agar pindaan yang dibuat menggalakkan lebih ramai rakyat untuk menubuhkan koperasi bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, pada masa yang sama aspek pengurusan wajar diberi perhatian serius," tambah beliau lagi
 


Tag: