• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Masyarakat Bukan Islam Tidak Dipinggirkan - Ariffin Deraman


Oleh: Ahmad Fadhilah

KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam dan ianya terbukti apabila Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina diadakan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, ia merupakan satu petunjuk kepada rakyat bahawa kerajaan yang ada sekarang bersifat sederhana dan sangat mementingkan keharmonian kaum.

 "Kita (kerajaan negeri) tidak akan sesekali meminggirkan hak orang bukan Islam malah kita sedia membantu mereka seperti mana masyarakat Islam dapat.

 "Buktinya, kita telah memberi peruntukan atau sumbangan kewangan kepada mereka yang miskin atau kurang berkemampuan sebelum ini untuk menyambut Tahun Baru Cina.


 "Contohnya, lebih 100 orang warga Cina dapat menikmati sumbangan ini sekitar DUN Alur Limbat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat DUN Alur Limbat yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali di Dewan Taman Padang Midin, baru- baru ini.


Lebih 200 orang kaum Cina hadir bagi meraikan sambutan perayaan tersebut serta masyarakat melayu Islam setempat dimana sambutannya begitu meriah dengan adanya tarian naga dan jamuan makanan.

Tag: