KUALA TERENGGANU, 24 September – Masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan mengenai hak pengguna dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi cabaran kos sara hidup serta keadaan ekonomi semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengguna yang berilmu dan bijak membuat keputusan mampu membantu mewujudkan kehidupan keluarga yang lebih harmoni.

“Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja tahu membeli, tetapi tahu hak, tahu memilih dan tahu mengurus perbelanjaan dengan bijaksana.
“Dalam keadaan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa, pengguna yang berilmu dan bijak membuat keputusan mampu membantu membina kehidupan keluarga yang lebih terancang dan sejahtera,” katanya.

Program tersebut dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Sejahtera Terengganu (PEWANIS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu.
Ariffin berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat dalam membuat pilihan yang tepat sebagai pengguna.
“Usaha sebegini perlu diteruskan bagi membentuk pengguna yang lebih cakna, bijak dan bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan pengukuhan ekonomi.
“Pengguna bijak, keluarga sejahtera, ekonomi lebih kukuh,” katanya.