• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Masyarakat Tionghua Bukit Besi Tidak Terpinggir

DUNGUN, 28 September - Walaupun masyarakat Cina merupakan kaum minoriti di sini namun mereka tidak pernah dipinggirkan daripada menikmati pembangunan sama dengan kaum lain.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, malah kebajikan terhadap tujuh buah keluarga kaum Tionghua di DUN berkenaan sentiasa terjaga.

"Jumlah mereka yang berbangsa Tionghua di sini seramai tujuh orang sahaja. Namun kita sangat menghargai keberadaan mereka di sini sebagai sebahagian penduduk yang tinggal secara harmoni bersama penduduk Melayu semenjak sekian lama.

"Malah mereka dilihat begitu senang dengan corak kehidupan masyarakat disini sehingga apa yang kita makan pun mereka makan seperti nasi putih dengan lauk ikan singgang cicah budu dan sebagainya, mereka juga seperti kelaziman turut berniaga disini serta pelanggan utama mereka mestilah masyarakat di sini.

"Ianya telah membentuk kehidupan yang harmoni serta saling bertoleransi," ujar beliau ketika ditemui pihak media selepas mengunjungi kaum berkenaan serta turut menyampaikan sumbangan kuih bulan sempena festival 'Moon cake' baru-baru ini.

Seorang penduduk Kampung Nerang, Chiong Tong Hing sangat berterima kasih atas kunjungan berkenaan.

"Sangat berterima kasihlah kepada Pegawai Penyelaras kerana sudi mengunjungi kita di sini dan memberikan Kuih Bulan yang sangat sinonim dengan masyarakat Tionghua dan selalunya diagihkan pada festival 'Mooncake'," ujarnya.

 


Tag: