• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Masyarakat Tionghua Sibuk Buat Persiapan Sambut Tahun Baharu Cina

KUALA TERENGGANU, 20 Januari- Keterujaan masyarakat Tionghua menyambut kedatangan Tahun Arnab kali ini makin dirasai apabila tinggal beberapa hari lagi untuk mereka berkumpul dan menikmati 'makan besar' bersama ahli keluarga serta saudara-mara.

Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman di Kampung Cina di sini semalam mendapati, masing- masing begitu bersemangat menghidupkan suasana perayaan Tahun Baharu Cina dengan menghias aneka perhiasan menarik seperti tanglung, lampu berwarna warni termasuk di rumah sendiri dan tokong-tokong. 

Bagi Wong Sue Fong, 60, Tahun Arnab kali ini merupakan permulaan baharu bagi masyarakat Tionghua meraikan kedatangan Tahun Baharu Cina dengan penuh semangat.

"Kami sudah mula bergotong-royong dengan membuat persiapan membeli perhiasan dan membuat dekorasi yang meriah sejak dua minggu lalu.

"Hiasan tokong untuk Tahun Baharu Cina pula dibuat bersama oleh beberapa NGO untuk meriahkan lagi suasana dan bagi semua rakan di sini rasa gembira pada hari tersebut.

"Sudah beberapa tahun kami tidak menyambutnya dengan meriah sebab arahan PKP yang menyebabkan kami tidak dapat berkumpul beramai-ramai. Tahun ini apabila COVID-19 sudah pulih, kita teruskan kembali," katanya.

Sementara itu Wang Fook Seek, 80, pula mengharapkan, kehadiran Tahun Arnab sempena Tahun Baru Cina kali ini akan membawa limpahan kejayaan dan kemakmuran kepada Negeri Terengganu.

"Semoga kita semua yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum di negeri ini sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat hidup dengan aman dan makmur," ujarnya.