• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Mat 'Aquaman' Antara 517 Penggiat Pelancongan Pulau Redang Divaksin

KUALA NERUS, 1 Ogos – Che Mohd Ridzwan Jaafar atau Mat yang dikatakan seiras dengan bintang filem Aquaman merupakan salah seorang daripada 517 penggiat pelancongan yang menerima vaksin COVID-19 di Pulau Redang, semalam.

Dia yang juga seorang pemandu juruselam berusia 32 tahun berkata, pengambilan vaksin adalah sebagai usaha pencegahan virus daripada terus menular di sekitar tempat kerjanya di Redang Pelangi dan untuk keselamatan pelanggannya.

“Semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kita tidak dapat beroperasi lebih tiga bulan, dalam masa itu kita duduk saja.

“Diharapkan dengan seluruh warga Pulau Redang disuntik agar ia dapat memberi peluang kepada kita untuk buka kembali.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan seluruh petugas kesihatan yang terlibat dalam pemberian suntikan dan penyampaian maklumat berkenaan vaksin,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas disuntik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.

Sementara itu, seorang kapten kapal layar mewah dari Brazil, Watson Gomes Da Silva menyifatkan prosedur perolehan vaksin untuknya adalah mudah dengan perkhidmatan yang terbaik.

Jelasnya, dia bersama 12 orang kru kapal mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera seperti diarahkan kerajaan Malaysia dan proses suntikan sangat memuaskan.

Menurut Pengarah pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria, program outreach itu akan selesai suntikan 100 peratus penduduk di pulau peranginan itu melibatkan 167 pekerja asing manakala baki adalah rakyat tempatan.

"Ini bagi memastikan lebih ramai penggiat industri dapat divaksin secara besar-besaran seterusnya menjadikan produk-produk pelancongan seperti pulau-pulau dan tasik di negeri Terengganu ini dapat mencapai status imuniti berkelompok dengan segera," ujarnya kepada pemberita.