• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Satu mayat dipercayai salah seorang mangsa yang dilaporkan terlibat dengan kejadian hilang di laut pagi ini, ditemui terapung pada jarak lebih kurang 17 batu nautika dari Pulau Kapas.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, mangsa ditemui oleh nelayan tempatan yang terlihat objek terapung di laut semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam lebih kurang jam 1.00 tengahari.

"Mayat disyaki mangsa yang hilang dalam kes bot kelas A, Baharudin Abdullah, 47 tahun telah dibawa ke jeti Maritim Terengganu, Kuala Terengganu oleh bot maritim Pengawal 16.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan proses pengesahan oleh ahli keluarga dilakukan oleh pihak polis," jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, Maritim Malaysia masih meneruskan Operasi CARILAMAT melibatkan sebuah kapal peronda, sebuah bot peronda dan sebuah pesawat dalam
penugasan mencari dan menyelamat di kedua-dua lokasi tersebut.

Pencarian merangkumi kepada 211.54 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai hilang turut melibatkan Jabatan Perikanan dan dibantu persatuan nelayan.

Terdahulu, kehilangan sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama dua kru termasuk tekong yang dipercayai mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam, dilaporkan media, pagi tadi.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 9.40 pagi oleh Maritim Malaysia bagi mengesan kedudukan bot Jaafar Sulong, 66, dan kru dikenali sebagai Baharuddin, 30-an.