• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Mayat Pemancing Ditemui Di Tebing Sungai

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Mayat lelaki ditemukan dalam keadaan berbau di tepi tebing sungai di Kampung Sungai Rengas semalam.

Difahamkan lelaki terbabit dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian hasil panggilan kecemasan melalui talian Perkhidmatan Keselamatan Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 9.57 malam oleh orang awam, semalam.

"Hasil siasatan di lokasi didapati mayat seorang lelaki berusia 39 tahun berada dalam keadaan tertiarap di tebing sungai.

"Berdasarkan keadaan mayat, dipercayai lelaki terbabit telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari.

"Pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarga dan kita dimaklumkan oleh mereka (ahli keluarga) lelaki berkenaan bahawa mangsa telah keluar dari rumah selepas waktu Asar pada Khamis lepas untuk pergi memancing dan tidak balik sehingga mayatnya ditemui," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, ahli keluarga tidak membuat laporan polis di atas kehilangan mangsa berikutan lelaki terbabit sering keluar memancing dan pernah tidak balik dalam tempoh beberapa hari.

Katanya, kereta mangsa turut dijumpai terletak kira-kira 200 meter dari tempat mayat ditemui.

"Punca kematian belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Siasatan buat masa ini adalah di bawah laporan mati mengejut," jelasnya.