• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mazli Mazlan Dilantik Ketua Polis Terengganu Baharu

KUALA TERENGGANU, 3 Mei- Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DCP Datuk Mazli Mazlan, dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Terengganu baharu bagi menggantikan DCP Dato' Rohaimi Md Isa, berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Rohaimi yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Mazli menandatangani dan menerima penyerahan dokumen serah terima tugas selaku Ketua Polis Terengganu yang ke-31 daripada Rohaimi disaksikan Pengarah Logistik dan Teknologi PDRM, Dato'Seri Sahabudin Abd Manan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Mazli menzahirkan komitmen meneruskan legasi usaha-usaha cemerlang yang dilaksanakan kontinjen Terengganu.

"Saya baru memulakan tugas hari ini, tetapi sebabagi anggota polis, misi tidak ada perubahan iaitu menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam.

"Saya juga akan meneruskan semua agenda yang telah dirancang sebelum ini samada dalam pencegahan jenayah ataupun dalam usaha mengurangkan indeks jenayah.

"Lebih-lebih dalam memastikan indeks jenayah yang rendah itu kekal dan diturunkan lagi supaya memberi impak kepada rakyat," katanya.

Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu di antara Datin Azizah Malisa Ramli dengan Datin Nur Izzati Dato' Shafii sebagai Pengerusi PERKEP Terengganu baharu.

Penyerahan tugas itu disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM Bukit Aman, Datin Seri Nor Aidila Abdul Majid.


Tag: