• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MB Agih 18 Ribu Liter Air Buat Penduduk Terputus Bekalan

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sebanyak 18 ribu liter air bersih telah diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di 19 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading semalam termasuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sumbangan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu telah disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau, Muhyiddin Abd Rashid kepada Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim.

“Sebarang masalah yang perlu tindakan segera boleh rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) masing-masing.

“Terima kasih atas kesabaran menghadapi musibah ini. Semoga Allah mengganjarkan pahala yang berlipat ganda. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ridzuan Hashim berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu komunitinya termasuk 15 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berada dalam PKPD.

“Mewakili seluruh warga kawasannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar. Usaha ini sangat membantu terutamanya kepada mereka yang tidak bebas keluar untuk mendapatkan bekalan asas ini,” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan akan memberi air percuma selama dua bulan kepada pemilik akaun yang terjejas akibat saluran paip pecah di dasar sungai Terengganu.