• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

MB, Exco Perlu Kerjasama MPKK


Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 11 Disember 2018 – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menjadi  sebahagian daripada jentera kerajaan yang penting berperanan menjayakan segala perancangan kerajaan untuk manfaat rakyat di peringkat akar umbi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, mustahil kerajaan yang dipimpin seorang Menteri Besar dan sepuluh anggota Exco mampu menjaga 1.2 juta rakyat Terengganu tanpa kerjasama pihak lain.

“Oleh itu, struktur organisasi kerajaan negeri yang terdiri daripada, Menteri Besar, barisan Exco  wakil rakyat di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri), Setiausaha Kerajaan, pegawai daerah, penghulu dan peringkat terakhir adalah MPKK yang akan berurusan secara langsung dengan rakyat bagi menjaga kebajikan mereka,”ujarnya.

 “kita tidak mahu lagi mencari kelemahan tetapi pada masa yang sama tiada tindakan yang sewajarnya diambil bagi menyelesaikan sesuatu isu” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Komputer Riba kepada MPKK DUN Bukit Tunggal, di Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Tunggal, Serdang Baru, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai IT dan Media Baru Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Bukit Tunggal, Mohd Norizu Ismail@Muda dan Ahli Jawatankuasa MPKK.

Dr. Alias berkata, MPKK juga perlu mengubah ‘mind set’ mereka daripada pembangkang kepada kerajaan.

Menurutnya lagi, sebagai wakil kerajaan, tanggungjawab yang dipikul oleh MPKK sangat berat maka mereka mestilah melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan hasrat kerajaan melalui program-program yang diatur oleh pihak DUN, pejabat daerah, dan kerajaan negeri.


Selain itu, menyentuh mengenai beberapa tawaran manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu,  kerajaan memperuntukkan RM12 juta untuk kemudahan kad sejahtera, RM5 juta untuk wad kelas tiga percuma, air percuma untuk 20 meter padu bagi golongan berpendapatan rendah, lesen motosikal percuma sebanyak RM300. Kerajaan juga menanggung 14 juta bagi menampung kos pengecualian cukai pintu sebagaimana yang telah dijanjikan.

“Apa yang saya risau adalah segala tawaran yang diberikan daripada pihak kerajaan tidak sampai kepada rakyat akibat kelalaian kita dalam menjaga kebajikan mereka, oleh itu pihak DUN mengambil inisiatif untuk memperuntukkan satu komputer riba kepada setiap cawangan MPKK bagi memudahkan urusan membantu rakyat yang berhajat memohon bantuan khususnya yang berbentuk secara ‘online’ contohnya seperti pendaftaran i-Dana, Rumah Mampu Milik (RMM) dan sebagainya,” tegasnya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal berharap, semoga dengan pemberian inisiatif ini dapat memperkasakan MPKK dengan bersikap lebih proaktif serta memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat.




Tag: