• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

MB Gesa Kerajaan Persekutuan Bayar Dana Khas Ikut Jadual

KUALA NERUS, 14 Mei – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa kerajaan Persekutuan membayar sebarang dana khas milik rakyat, yang diterima pada tahun-tahun sebelum ini mengikut jadual.

Ahmad Samsuri berkata, perkara itu sudah tercatat dalam dokumen rasmi kerajaan dan dibimbangi ia merencatkan perancangan negeri untuk rakyat jika tidak diurus dengan baik

“Saya menyampaikan permintaan rakyat, mereka mengharapkan segala bentuk perancangan, pembangunan dan penyaluran dana khas peruntukan yang kita terima puluhan tahun, agar dapat diteruskan tanpa sebarang kerencatan mengikut jadualnya.

“Sebagaimana dicatatkan dalam dokumen Belanjawan 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari yang lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli-Ahli Jemaah Menteri dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri.

Jelas Ahmad Samsuri, tindakan ini sekali gus menepati, apa yang ditegaskan oleh Saidina Ali kepada Malik al-Ashtar, Gabenor Mesir dalam suratnya pada tahun 655 Hijrah (1257 Masehi).

“Mekarkan dalam hati kamu perasaan kasih sayang kepada rakyatmu dan jadikan kasih sayang itu sebagai sumber kebaikan dan sejahtera kepada mereka.

“Janganlah kamu memperlakukan rakyat dengan cara yang tidak beradab atau gasar, dan jangan ambil dari mereka apa yang menjadi milik mereka," katanya.

Menurut beliau, melihat ke depan, kita semua akur dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melihat Malaysia yang lebih segar dan baharu.

Maka tambah Ahmad Samsuri, semua pihak perlu bertekad untuk menolak budaya dan cara lama yang tidak sihat, dengan mengambil pendekatan matang dan sejahtera. 

"Justeru, ia akan lebih menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia, termasuklah rakyat negeri Terengganu.

“Mudah-mudahan, dengan komitmen yang padu dari semua pihak tanpa mengira agama dan kaum, adat dan budaya, tanpa mengira fahaman politik.

“Nescaya, akan dapat mewujudkan Malaysia yang lebih sejahtera dan semoga tiada yang terpinggir dalam proses kebangkitan dan pembangunan negara, selepas daripada ini,” ujarnya.

 

 

 

 

 


Tag: