• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

MB Sokong Penuh #MalaysiaTanpaRasuah

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan negeri melalui Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan sokongan terhadap usaha Rasuah Busters dalam memerangi rasuah di negara ini.

Kerjasama itu dicapai dalam satu pertemuan yang julung kali diadakan antara Rasuah Busters dan pemimpin utama negeri itu di Kediaman Rasmi Seri Iman, di sini pada Selasa.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberi komitmen terhadap sebarang usaha daripada mana-mana pihak bagi memerangi rasuah sekali gus mencapai objektif negara sifar rasuah.

"Usaha memerangi rasuah adalah tanggungjawab kita semua. Bagi pihak kerajaan negeri, kita amat terbuka dan mengalu-alukan usaha sama ada daripada badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, ahli akademik dan agensi penguat kuasa serta sentiasa mencari jalan bagi memastikan usaha ini direalisasikan.

"Insya-ALLAH, selepas ini kita boleh terus mengadakan perbincangan untuk mengadakan program-program atau sesi yang sesuai dengan kumpulan sasaran tertentu," katanya.

Beliau menjadi menteri besar pertama yang menerima kunjungan Rasuah Busters sempena konvoi #RasuahBusters ke Pantai Timur bermula Sabtu lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pelbagai isu telah diketengahkan dalam pertemuan selama lebih satu jam itu antaranya memperkasa gerakan #RasuahBusters sebagai sebuah gerakan rakyat di Terengganu dalam usaha merealisasikan agenda #MalaysiaTanpaRasuah.

Konvoi #RasuahBusters kini meneruskan perjalanan ke Kelantan selama tiga hari bermula 9 hingga 12 Ogos.


Tag: