• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

MB Terengganu Bayangkan DUN Bubar Sebelum Julai 2023

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat sebelum Julai hadapan.

Katanya, setakat ini tiada keperluan untuk Terengganu membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan dalam tempoh terdekat.

"Setakat ini tiada keperluan untuk kita adakan PRN dalam tempoh yang terdekat, jadi kita tunggu dululah, kalau perlu sehingga habis penggal.

"Malah hasil perbincangan dalaman Pas juga memutuskan tiada keperluan untuk Terengganu membubarkan DUN lebih awal,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2022 (kali ke 42)& Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau telah berbincang secara tidak rasmi bersama seorang Menteri Besar dan bersetuju agar PRN untuk enam negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) diadakan serentak bagi memudahkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.

"Kami bersetuju supaya kesemua lima Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri ini untuk duduk kembali (berbincang) ketika tempoh Majlis Mesyuarat Raja-Raja pada minggu hadapan.

"Kebetulan, kami semua ada di Kuala Lumpur ketika itu...jadi kami akan berjumpa balik dalam tempoh tersebut bagi membincangkan perkara tersebut," katanya.

Jelasnya, enam negeri yang akan terlibat dalam PRN ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.

Ketika mengulas perundingan kerusi kepada BERSATU yang sepatutnya diadakan Selasa lalu, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan itu terpaksa ditangguhkan.

"Walaupun begitu saya ada bertemu dan berbincang juga dengan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk berbincang mengenai prinsip-prinsip atau dasar dalam perundingan kerusi ini.

"Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan adakan pertemuan untuk rundingan agihan kerusi dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya.