• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

MB Terengganu Bertugas Dari Katil

KUALA TERENGGANU, 3 November - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas dari katil Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) selepas selesai jalani pembedahan lutut semalam.

Katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, walaupun masih tidak boleh berjalan, dan berdiri tetapi minda harus sentiasa cergas untuk melaksanakan amanah.

"Tengah hari semalam, iaitu tidak sampai 24 jam selepas 'operation', saya sudah minta Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Ketua Polis Terengganu supaya datang ke bilik wad saya untuk memberi taklimat mengenai kedudukan terkini COVID-19 dan isu keselamatan di Terengganu. 

"Fail-fail di pejabat Menteri Besar yang memerlukan tugas saya untuk ditandatangani juga saya minta dibawa ke bilik wad. 

"Saya juga memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, sekiranya ada perkara yang memerlukan MB membuat keputusan, sila terus bawa kepada saya walaupun semasa saya berada di dalam kamar wad," ujar Ahmad Samsuri.

Dalam masa yang sama, beliau memohon maaf sekiranya ada sebarang kekhilafan yang dilakukannya.

"Saya akui kelemahan diri saya dalam pelbagai perkara dan bukanlah 'superman' yang boleh melakukan berbagai-bagai kerja yang luar biasa, tetapi sesungguhnya saya merasa insaf bahawa rakyat sentiasa memerlukan keputusan dan tindakan pemimpin kerajaan dalam urusan seharian," tambah beliau.

Petang kelmarin Ahmad Samsuri selesai menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL).

Setiausaha politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Ahmad Samsuri telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan pada proses penyembuhan.

“Proses penyembuhan dijangka sekurang-kurangnya selama enam minggu.

“Pembedahan ini dilakukan kerana kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat terseliuh kerana menahan badan daripada jatuh semasa aktiviti riadah,” katanya.


Tag: