• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MB Terengganu Lancar Projek Taman Perindustrian Bernilai RM680 Juta

KEMAMAN, 6 Mac - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melancarkan Projek Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) bernilai RM680 juta di Resort World Kijal, hari ini. 

Ahmad Samsuri berkata, inisiatif tersebut akan memberi banyak manfaat kepada kerajaan negeri, pelabur serta kegiatan ekonomi rakyat. 

“Kerajaan menjangkakan projek ini menjadi pemangkin kepada perkembangan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan serta menjadi catalyst kepada industry hiliran yang lain di sekitar daerah Kemaman dan negeri Terengganu secara keseluruhannya.

“Rakyat Terengganu juga bakal menikmati curahan ekonomi menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan oleh KTIP dalam pelbagai bidang dan kemahiran yang diusahakan,” tambah beliau dalam majlis pelancaran tersebut. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed, Pengarah Urusan Kumpulan MGB Berhad, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan serta Pengarah Retro Court Sdn Bhd, Dato’ Hendri Dahlan.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, projek itu akan dibangunkan di tanah berkeluasan 1,007 ekar yang strategik dalam hab bioekonomi bersepadu melibatkan industri bio-polimer dan produk kimia yang berasaskan bio. 

"KTIP juga mempunyai kemudahan logistik penting di wilayah Pantai Timur melalui Perlabuhan Kemaman dan Kertih termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," jelasnya.

 


Tag: