• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MB Terengganu Nasihat Rafizi Henti Berpolitik

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- "Saya jadi malas nak melayan suara yang siang malam nak berpolitik, walau atas urusan negeri atau negara yang perlu komitmen serius dan menjangkaui politik," ujar Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tentang ada negeri diberi keutamaan dalam belanjawan Persekutuan, tetapi tiada perancangan ekonomi yang baik termasuk Terengganu.

Katanya, tidak mustahil lama kelamaan rakyat akan muak dan benci spesies ahli politik yang hanya mementingkan diri semata. 

"Ya ada perkara berpolitik, dan ada perkara yang kena keluar dari politik. Jiwa besarlah sikit kawan. Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar atau merasa 'superiority complex'. 

"Pandangan kita walau hebat macam mana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah," ujarnya di laman facebook rasmi beliau hari ini.

Ahmad Samsuri berkata Rafizi seumpama 'mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri' atau disebut sebagai 'shooting your own foot' dalam bahasa yang lain apabila membangkitkan isu tersebut.

Tambahnya, semua rakyat membayar cukai dikenakan dan hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan.

"Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri-negeri ini.

"Semua kena ingat, hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua negeri. Saya ulang... semua rakyat dan negeri," ujarnya lagi

Beliau juga berkata pihak menteri sepatutnya membaca angka-angka dan peratusan berkaitan serta melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian.

Justeru itu katanya, mengapa tidak diwujudkan satu hubungan yang lebih harmoni di negeri-negeri atau Putrajaya melalui perbincangan dengan semangat Federalisme yang mengukuh terutama selepas pilihanraya dijalankan.

"Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. Bye-bye keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua.

"Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka," ujar Ahmad Samsuri.