• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

MB Terengganu Rasmi Bangunan PASTI Bestari As-Siddiq


MARANG, 21 Januari - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bestari As-Siddiq, Kampung Bukit Che Ali, di Kijing pagi tadi bagi merasmikan bangunan pusat asuhan itu.

Ketibaan beliau bersama isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pengerusi Eksekutif Muaz Force Sdn Bhd, Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak serta kepimpinan tertinggi PASTI Negeri Terengganu.

PASTI Bestari As-Siddiq yang memulakan sesi pembelajaran pada 1 Januari lalu, kini mempunyai 53 pelajar dengan empat tenaga pengajar.


Dr Samsuri dalam ucapannya berkata, PASTI berkenaan merupakan yang ke-40 bagi daerah Marang.

Penubuhan PASTI berkenaan bermula dari kerja-kerja pembinaan sehingga tersergamnya sebuah bangunan yang begitu lengkap kemudahan infrastrukturnya dan merupakan hasil sumbangan sebuah syarikat swasta di negeri ini.


“Terima kasih kepada Dato’ Seri Zakaria yang merupakan penyumbang utama kepada penubuhan PASTI ini.

“Pembinaan PASTI Bestari ini adalah untuk memenuhi keperluan dan memberikan pendidikan awal yang terbaik untuk anak-anak,” ujarnya.

Katanya, PASTI ini dikategorikan sebagai PASTI Bestari kerana kaedah pembelajarannya sedikit berbeza dengan PASTI biasa kerana banyak menggunakan multimedia untuk membolehkan anak-anak ini mendapat pendidikan yang terbaik.

Tag: