• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

MB Terengganu Santuni Pengunjung 'Basteng' MBKT

Dr Samsuri menemui pengunjung Tionghua di 'Basteng' MBKT.
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kehidupan menjelang malam di Perhentian Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) tidaklah semeriah perhentian bas di kota raya Kuala Lumpur kerana sehingga jam 12 malam ia menjadi lengang.

Ini kerana kebanyakan bas ekspres sudah berlepas ke destinasi masing-masing.

Ia menjadi sibuk dengan penumpang dan kenderaan termasuk bas dan kereta sewa serta kereta persendirian setiap hari bermula siang hari sehingga jam 11 malam ketika operasi bas mengangkut penumpang ke destinasi masing-masing.

Difahamkan, bangunan hentian bas yang dikenali dengan dialek Terengganu sebagai 'basteng' itu dibina oleh kerajaan negeri dengan peruntukan tidak kurang dari RM14 juta, lebih 10 tahun lalu.
Dr Samsuri (dua dari kiri) santuni peniaga roti canai 'Basteng' MBKT.
Ia beroperasi menggantikan Stesen Bas Tanjung (tidak jauh dari situ) untuk kegunaan bas ekspres dan bas henti-henti yang mengambil dan menghantar penumpang di sini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Abd Rahman mengadakan lawatan secara mengejut malam semalam di sekitar 'basteng' itu bagi meninjau permasalahan dan keperluan mendatang untuk penambahbaikannya bagi kegunaan orang ramai.

Beliau diiringi oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Dr Samsuri (empat dari kanan) dan Tuan Faizah (empat dari kiri) bertanya khabar kepada pengunjung wanita di 'Basteng' MBKT.
Dr Samsuri turut beramah mesra dengan pengunjung 'basteng' bertanya khabar sambil mendengar aduan secara langsung rakyat kepada beliau sebagai Menteri Besar Terengganu.

Amalan mulia ini amat disukai oleh seluruh rakyat Terengganu yang kebanyakannya beragama Islam dan berbangsa Melayu serta rakyat bangsa lain yang turut dilayani sama rata oleh Kerajaan Terengganu.

Memang menjadi kegemarannya bertemu rakyat secara langsung tanpa protokol, meninjau kehidupan rakyat termasuk pengunjung 'basteng' tersebut.
Dr Samsuri (kiri)  mendengar keluhan pengunjung 'Basteng' MBKT diperhatikan oleh Ahmad Shah (tengah).
Ada di kalangan mereka yang berniaga sehingga larut malam demi memenuhi keperluan pelanggan dan pengunjung 'basteng' berkenaan.

Dr Samsuri tidak segan silu menyantuni mereka dan merasai kesusahan berniaga dan bertanya khabar mengenai perkembangan perniagaan mereka di situ.




Tag: