• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MB Terengganu Seru Rakyat Kekal Keharmonian

Dr. Samsuri bersama Exco Kebajikan Negeri, Hanafiah Mat dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A. Rahman bersama sebahagian penduduk Tionghua Kemaman.
KEMAMAN, 6 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh rakyat Terengganu untuk mengekalkan keharmonian yang wujud dalam negeri.

Jelasnya, walaupun berbeza agama dan bangsa, semuanya mendiami tanah air yang sama dan menghirup udara yang sama.

"Kita adalah rakyat Terengganu dan rakyat Malaysia, tugas kita adalah memupuk keharmonian tidak kira di mana berada," katanya.

Dr. Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sentuhan Kasih Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Komuniti Cina Kemaman, semalam.

Tambahnya, seharusnya semua pihak bersyukur dan gembira dapat bersama meraikan sambutan perayaan pelbagai kaum tanpa sebarang masalah.

"Ini menunjukkan bahawa kita boleh hidup secara bersama dalam Terengganu ini.

"Program ini juga menjadi medan untuk kita beramah mesra dan kenal antara satu sama lain sebagai usaha untuk hidup harmoni dalam negeri yang permai ini," katanya.

Majlis Sentuhan Kasih di Kemaman.
Dalam program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) Pantai Timur itu, sebanyak 400 penduduk kurang bernasib baik turut menerima angpau dan hamper makanan bernilai RM200 sebagai bantuan perayaan.

Dr. Samsuri turut menyampaikan penyerahan tanah rumah mayat yang dijanjikan untuk kemudahan masyarakat Tionghua sebelum ini kepada Persatuan Tionghua Kemaman.

Dr. Samsuri beramah mesra bersama salah seorang wakil persatuan Tionghua.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Mohd Zahari Md Azahar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.




Tag: