• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

MB Terengganu Seru Rakyat Terus Semarak Semangat Merdeka

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh anggota masyarakat supaya terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

"Walau apa jua keadaan kita ketika ini yang berdepan situasi krisis dan pandemik ini, tetapi semangat menyambut Hari Kemerdekaan itu wajar diteruskan kerana ia boleh mengubat hati kita dan menyatukan hati seluruh anggota masyarakat 

"Biarpun kita boleh bercanggah dalam pelbagai perkara dan berdepan pelbagai ujian serta pandemik, tetapi soal kesetiaan kita kepada negara, soal kemerdekaan negara adalah sesuatu yang amat penting bagi masyarakat dan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Tengku Seri Bijaya Raja Pegawai Kewangan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Jelas Dr. Samsuri, mengibarkan Jalur Gemilang menandakan kita sudah memasuki fasa berikutnya dalam menyambut Bulan Kemerdekaan.

"Kita minta semua pejabat-pejabat kerajaan di semua daerah dan agensi-agensi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.

"Kepada rakyat terutama di negeri Terengganu sendiri juga begitu, supaya kita bersama-sama mengibarkan jalur gemilang dengan bangganya," katanya.


Tag: