• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

MB Terengganu Tunggang RXZ Waktu Hujan, Curi Perhatian Ramai

Ahmad Samsuri tidak kekok menunggang RXZ. Foto - Hishamuddin Abdullah.
 

KUALA NERUS, 28 Julai - Menteri Besar (MB), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencuri perhatian ramai apabila menunggang motosikal RXZ dalam keadaan cuaca hujan lebat, sempena program ‘We Are RXZ Members 3.0’ di Kuala Nerus semalam.

 

 

 

Dengan gaya bersahaja, beliau menunggang motosikal berseorangan sambil diiringi pengawal peribadi kira-kira 15 kilometer bermula dari Kediaman Seri Setia di Batu Buruk, Kuala Terengganu hingga ke tapak program di Litar Permotoran Negeri Terengganu, Gong Badak.
 
MB keluar dari kediamannya pada 5.15 petang dan disambut di lokasi program yang dihadiri lebih 18,000 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
 
Cuaca hujan sepanjang perjalanan tidak menghalangnya meneruskan perjalanan, malah beliau tidak kekok mengawal tunggangan.
 
Ahmad Samsuri mendapat respon positif daripada penunggang motosikal RXZ apabila ucapannya pada majlis perasmian program itu di sini mendapat pujian ramai.
 
“Biar kita sama-sama basah, biar kita sama-sama kering,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh peserta.
 
Sementara itu menurut peserta himpunan berkenaan, Faridullah Hisham, 28, berkata, dia  tertarik dengan keramahan Ahmad Samsuri yang sentiasa menyantuni anak muda dalam program berkenaan.
 
“Walaupun beliau Menteri Besar dan berstatus VIP, beliau tidak kekok langsung bersama-sama peserta menunggang motosikal. Memang sangat seronok,” katanya yang datang dari Kelantan.
 
Malah, Ahmad Samsuri sebelum menghadiri program itu sempat menitipkan pesanan kepada anak muda yang menyertai program itu di laman Facebooknya semalam, supaya peserta sentiasa mematuhi disiplin dan undang-undang, menghormati pengguna lain, menjaga aurat dan tidak meninggalkan solat.
 
 

 


Tag: