• 04 Nov 2024 | 02 Jamadil Awal 1446

MBKT Gesa 31,000 Pemilik Premis Bayar Cukai Pintu

Mohd Zulkifli bermesra dengan media yang hadir pada Majlis Minum Petang Bersama Media. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengingatkan kira-kira 31,000 pemilik premis di bandar raya ini agar menyegerakan bayaran tunggakan cukai pintu selewat-lewatnya akhir Oktober ini,  bagi mengelak premis masing-masing disita.

Datuk Bandar Kuala Terengganu majlis itu, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata,  tindakan itu terpaksa dilaksanakan bagi memastikan tunggakan cukai pintu yang terkumpul RM28 juta dapat dijelaskan penghutang secara berperingkat-peringkat.

Katanya, MBKT melancarkan beberapa siri Ops Sita, di mana pada Ops Sita siri pertama Ogos lalu, hanya berjaya mengutip RM103,000 bayaran tunggakan.

“Operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa semasa dengan memilih Oktober ini sebagai Ops Sita siri kedua dan meneruskan langkah sama pada dua bulan berikutnya.

“Dalam operasi ini,  pihak kami  akanmengeluarkan notis borang E, di mana mereka perlu menjelaskan hutang dalam tempoh dua minggu,” katanya..

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Minum Petang Bersama Media di Kelab Eksklusif MBKT, di Batu Burok, Kuala Terengganu, petang ini.

Mohd Zulkifli turut memberitahu, sekiranya masih ingkar, waran tahanan (Borang F) akan dikeluarkan yang membolehkan MBKT menyita barangan pemilik premis.

“MBKT ada melantik empat panel peguam untuk menguruskan kutipan tunggakan itu melalui tindakan mahkamah.

“Tindakan tegas terpaksa diambil bagi memberi kesedaran kepada pemilik bangunan untuk menunaikan tanggungjawab, selain bersama-sama membantu MBKT perindahkan bandar,” katanya.

Setakat ini, MBKT hanya menerima bayaran cukai pintu sebanyak RM14 juta berbanding anggaran keseluruhan RM18 juta bagi tahun ini.




Tag: