• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

MDS Gesa Masyarakat Patuhi Amaran Obor-Obor Beracun

Obor-obor beracun. Foto ihsan - Google.

Oleh : Fahmi Izzuddin

SETIU, 3 Mac - Majlis Daerah Setiu (MDS) menggesa orang ramai supaya mematuhi papan tanda amaran ancaman obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese man o' war di sepanjang pantai Terengganu terutamanya di daerah ini.

Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran MDS, Nurul Asmera Zamli berkata, obor-obor berkenaan dipercayai boleh mendatangkan kesan teruk kepada kesihatan orang ramai seperti badan akan mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan kematian.

“Papan tanda amaran telah diletakkan di kawasan Pantai Rhu 10 di sini, tempat itu menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Menurutnya lagi, kesedaran orang ramai mengenai ancaman obor-obor beracun itu amat penting lebih-lebih lagi bagi mereka yang melakukan aktiviti di laut dan pantai.

“Semua diingatkan sekiranya terkena serangan obor-obor ini supaya mendapatkan rawatan dengan segera di hospital yang berdekatan,” tambah beliau.

Pada pertengahan Februari lalu nelayan tempatan menemui obor-obor beracun di Pantai Rhu 10 dan Pantai Bari.

Berikutan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai berhati-hati dengan kemunculan obor-obor tersebut.

“Sehubungan itu, kita menasihatkan pengunjung agar tidak bermandi-manda di kawasan pantai (negeri ini) buat masa ini kerana dikhuatiri terkena sengatan obor-obor ini.

“Ini kerana masih tiada anti venom untuk serangan obor-obor ini kecuali ubat penahan sakit sahaja. Menurut ahli sains, kesan serta merta yang dirasai dalam tempoh tiga minit ialah kekejangan yang menimbulkan kesakitan melampau,” katanya.


Tag: