• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Melon Manis Terengganu Akan Dipaten

KUALA TERENGGANU, 10 September - Melon Manis Terengganu (MMT) kini dalam proses pendaftaran sebagai penunjuk geografi harta intelek (GI)  dan setelah diluluskan, nama MMT  tidak boleh digunakan oleh negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, apabila kelulusan ini diperolehi, MMT akan menjadi ‘signature’ produk ataupun ikon kepada pertanian Terengganu.

Menurutnya, proses ini sedang berjalan dan kertas ke arah itu telah diangkat setelah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

“Ada dua produk pertanian yang dalam proses untuk dipatenkan dan inysa-Allah selepas diluluskan maka rasmilah secara inteleknya bahawa nama Melon Manis Terengganu dan Sweet Nira Terengganu adalah milik negeri Terengganu. 

“Selepas dipatenkan seperti  Harum Manis Perlis, penggunaannya akan jadi lebih meluas lagi,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Tambah Dr Azman, kini Terengganu turut memasarkan hasil Melon Manis untuk pasaran antarabangsa berikutan  banyak permintaan daripada penduduk di beberapa negara seperti Dubai, Singapura dan Hong Kong .

Katanya, MMT yang dihasilkan di tempatnya boleh mencapai kemanisan sehingga skala 14 dan buahnya juga rangup serta tahan lama.

Buah yang direka khas untuk industri pertanian Terengganu  juga mempunyai khasiat tersendiri termasuk bersifat antioksida, baik untuk kesihatan kulit, menguatkan antibodi badan, mengandungi vitamin A dan C, serta pencegah penyakit kronik seperti kencing manis, angin ahmar dan jantung.