lightning-solid
Berita :
Memanah Terengganu Sasar Pertahan Lima Emas
Memanah Terengganu Sasar Pertahan Lima Emas
Amiirullah Mansor
04 Aug 26
21

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Pasukan memanah Kontinjen Terengganu meletakkan sasaran meraih sekurang-kurangnya lima pingat emas pada temasya akan datang, menyamai pencapaian cemerlang yang direkodkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuching.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata pencapaian lima emas itu perlu dijadikan penanda aras kepada seluruh pasukan.

“Rekod kita pada SUKMA di Kuching yang lalu ialah lima pingat emas. Jadi, kita perlu meletakkan sasaran tidak kurang daripada itu.

“Kalau turun kepada tiga pingat, nampak seperti prestasi kita mula menurun. Jadikan sasaran lima pingat emas ini sebagai satu cabaran kepada seluruh pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Meraikan Pasukan Memanah Kontinjen Terengganu di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu.

Dato’ Haji Satiful yang terus diberikan tanggungjawab sebagai bapa angkat sukan memanah berkata, beliau berbesar hati dapat bersama-sama membantu memperkasakan pasukan tersebut.

“Saya masih lagi dipilih sebagai bapa angkat. Ini sudah masuk sesi ketiga. Sebelum ini sukan menembak, sekarang memanah. 

"Daripada bapa angkat, nampaknya sudah jadi ‘tauke angkat’,” katanya secara berseloroh.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pengurus, jurulatih, atlet dan seluruh petugas yang bekerja keras memastikan pasukan memanah Terengganu terus menjadi antara penyumbang utama pingat kepada negeri.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan supaya proses peralihan atlet senior diimbangi dengan pembangunan bakat baharu agar kecemerlangan pasukan dapat dikekalkan.

“Ada atlet senior yang sudah sampai masanya meninggalkan pasukan. Namun, kita berharap generasi baharu dan atlet pelapis dapat meneruskan kecemerlangan yang telah dibina.

“Ini bukan sahaja harapan pasukan dan jurulatih, tetapi juga harapan Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan