• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Mempersada Intelektual Wanita, Fokus Utama KWM



Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU, 29 Januari – Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia (KWM) bakal mempersadakan tahap inteklektual dalam kalangan wanita Malaysia sebagai salah satu objektif penganjurannya selama dua hari bermula 30 Januari ini.

Pengarah KWM, Mardhiyyah Johari berkata wanita sering dikaitkan dengan hal-hal yang remeh serta bersifat emosional dan jarang sekali program yang dianjurkan bagi mendekati golongan wanita bersifat membahaskan polisi dan dasar mahupun isu-isu fundamental negara.

“Barangkali sulit sekali mengakui peranan penting golongan wanita dalam pembentukan generasi. Betapa besarnya isu wanita sehingga Rasulullah s.a.w mengangkat peringatan tentang wanita sebagai isu ketiga dalam khutbah wida' Baginda”.

“Tawakkul Karman, pemenang Anugerah Nobel Keamanan 2011 serta Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand yang membawa watak keamanan adalah antara simbol penyelesaian konflik melalui kepimpinan wanita di celah hiruk-pikuk ketidakstabilan politik dunia”, kata beliau ketika diminta mengulas mengenai penganjuran KWM, baru-baru ini.

Kata Mardhiyyah lagi, wanita muda yang berperanan sebagai penerus generasi hari ini harus sedar tentang  pentingnya idea dan gagasan mereka diberi pertimbangan dalam melakar hala tuju negara.

“Memasuki tahun 2020 wanita muda harus melangkah sepuluh tapak lagi ke hadapan. Kita tidak harus dilihat hanya dari sisi kelemahan yang harus diberi simpati, tetapi dari segi kemampuan dan kompetensi diri.

“Konvensyen kali ini adalah satu usaha menghimpunkan golongan wanita muda yang peduli isu masyarakat dan berinisiatif menawarkan solusi.

Pembentangan Kerta Kerja dalam pelbagai sektor melibatkan wakil wanita muda adalah satu platform untuk mempersada pemikiran intelektual wanita”, tambahnya.

Beliau turut menyeru kepada semua wanita untuk sama-sama hadir ke Stadium Negeri Terengganu pada 31 Januari hingga 1 Februari ini, untuk menjadi sebahagian dari sejarah himpunan wanita muda terbesar negara.

Tag: