• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Menara MOCN Pertama Malaysia Beroperasi di Alur Limbat

MARANG, 21 Mac – Menara JENDELA Celcom di Malaysia yang pertama beroperasi secara ‘Multi Operator Core Network’ (MOCN) kini beroperasi sepenuhnya bagi manfaat penduduk sekitar Alur Limbat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman merakamkan penghargaan buat pihak yang terlibat sehingga merangkul pengiktirafan antarabangsa baru-baru ini.

“Menara JENDELA yang kita saksikan ini mula beroperasi sejak 11 januari lagi dan telah selesaikan aduan masalah capaianinternet dengan memberikan servis liputan komunikasi 4G kepada lebih 1,000 penduduk.

“Ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memberikan kerjasama dengan Kerajaan persekutuan dalam memastikan kelancaran projek yang mampu memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan ke Menara JENDELA bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia Malaysia (SKMM) di Kampung Padang Limau Nipis, Marang di sini hari ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat turut berkata, kerajaan sentiasa mengenal pasti aduan-aduan yang diterima rakyat bagi mengatasi masalah ini.

“Penyelesaian yang kita sedang usahakan adalah liputan 4G bagi kawasan berpenduduk terutamanya di sekitar pedalaman.

“Walau bagaimanapun, kita akan merujuk kajian yang dibuat oleh pihak SKMM bagi pembinaan Menara termasuklah di kawasan pelancongan,” tambahnya.

Inisiatif JENDELA yang bermula sejak 2020 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan sebanyak 65 buah menara komunikasi bakal dibina di Terengganu sehingga Julai 2023.

Sehingga kini, capaian komunikasi di negeri ini telah mencapai sekitar 97.4 peratus berbanding 96 peratus sebelum ini.

 


Tag: