• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Menteri Besar Sertai Perarakan Bersama 2,340 Peserta

KUALA NERUS, 9 Oktober - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengetuai perarakan dan berselawat bersama 78 kontinjen melibatkan 2,340 peserta sempena Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah peringkat Negeri Terengganu.

Bertemakan 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran' acara perarakan telah bermula seawal jam 7.40 pagi tadi di Padang Sintetik, Kampung (Kg) Tok Jiring.

Kemudian Ahmad Samsuri bersama peserta berarak sejauh 4.4 Kilometer (Km) menuju ke Stadium Tertutup Gong Badak di lokasi berlangsungnya Sambutan Maulidur Rasul.

Turut serta dalam perarakan berkenaan ialah, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Sepanjang perarakan terbabit rakyat negeri ini tidak melepaskan peluang berada di sepanjang jalan laluan perarakan tersebut bagi sama-sama memeriahkan sambutan.

Ia sekali gus menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam serta menyampaikan dakwah bagi memastikan agama suci ini tersebar kepada seluruh masyarakat di dunia ini.

Peserta perarakan berkenaan telah dibahagikan kepada tujuh kategori melibatkan Kerajaan dan Badan Berkanun Kerajaan negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengan dan Intitusi Pengajian Tingggi Awam (IPTA)/Insititusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), syarikat-syarikat swasta, pasukan beruniform, badan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).