• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Menteri Saran Negeri Lain Contohi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Inisiatif kerajaan Terengganu dalam mewujudkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) bagi mengurangkan kadar pengangguran negara diharap dapat diikuti negeri lain.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, strategi Terengganu dalam kolaborasi rentas agensi terbukti berjaya dalam mengurus isu pengangguran secara kolektif.

Katanya, kadar pengangguran di Terengganu pada suku tahun pertama tahun ini merekodkan penyusutan kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Kerajaan Terengganu dan PERKESO aktif menjalankan aktiviti berkaitan dengan pasaran buruh pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

"Melalui penganjuran karnival yang dianjurkan oleh kerajaan Terengganu sejak tahun lalu berjaya mencatatkan kehadiran 4,748 pencari kerja.

"Daripada jumlah itu seramai 674 orang ditawarkan pekerjaan di pelbagai sektor termasuk sektor perkilangan," ujarnya.

Sivakumar.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) peringkat negeri, di sini, baru-baru  ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Lembaga Pengarah PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.

Pada karnival selama tiga hari bermula semalam, sebanyak 80 syarikat menyertai dan menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan melalui temuduga terbuka.


 


 


Tag: