• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Menyelamat, Melegakan Dan Membaikpulih Jadi 'Hashtag' Khidmat Malaysia

Oleh: WA Hadi

KEMAMAN, 6 Disember - Menyelamat, Melegakan dan Membaikpulih (3M) menjadi 'hashtag' kepada badan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Khidmat Malaysia bagi mengurus kecemasan dan bencana di Malaysia.

Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya melakukan setiap kerja secara ikhlas tanpa mengharapkan balasan demi kesejahteraan semua lapisan rakyat.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan Khidmat Malaysia dan agensi kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang pada tahun-tahun yang lalu ketika banjir melanda daerah Kemaman.

Bacaan doa oleh Ustaz Nik Mohammad Nasri

"Walaupun sebahagian besar daripada anda tidak dibayar dengan wang ringgit, tetapi saya yakin dan percaya bahawa ganjaran tersebut bakal diterima diakhirat kelak," ucapnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia Parlimen Kemaman 2021, di Dewan Seri Amar, Cukai, semalam yang dihadiri oleh seramai 200 orang petugas sukarelawan.

Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang juga Pegawai Daerah Kemaman berkata beliau amat mengharapkan kerjasama daripada semua NGO yang ada di Kemaman sekiranya berlaku bencana atau kecemasan tanpa mengira masa dan tempat.

Gimik pelancaran oleh Sukarelawan Khidmat Malaysia Kemaman.

"Saya amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian idea daripada semua pihak dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Kemaman terutama ketika bencana banjir.

"Kita perlu terus berubah bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan yang sedia ada terutama dari segi pembangunan sikap dan akhlak yang perlu diseiringkan dengan pembangunan fizikal dan proses kerja juga perlu lebih pantas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia Kemaman, Che Alias Hamid mengharapkan agar majlis ini dapat menyuntik semangat para sukarelawan Khidmat Malaysia agar terus meningkatkan usaha dan terus istiqomah.

"Sokongan dan bantuan dari semua amat diperlukan bagi meringankan beban yang bakal dipikul oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam memberi bantuan kepada rakyat," ucapnya yang juga  Ahli Parlimen Kemaman.

Turut dipamerkan dimajlis tersebut adalah sebahagian daripada eset bagi kerja-kerja bantuan semasa dan selepas operasi banjir termasuk peralatan komunikasi.

Penerangan oleh petugas Unit Komunikasi Khidmat Malaysia Kemaman (RAK).