• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Mesin ATM Beras Kini Di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 4 Oktober - Masjid Pekan Ajil di sini menjadi lokasi pertama di Terengganu yang memiliki dan menyediakan khidmat mesin ATM beras secara percuma buat golongan yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19, selepas Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid, berkata, sehingga akhir tahun ini, pihaknya akan menempatkan sebanyak lima mesin berkenaan di beberapa lokasi terpilih dan Hulu Terengganu menjadi lokasi kedua penggunaan mesin berkenaan.

Katanya, inisiatif peduli rakyat itu antara kesinambungan bantuan makanan asas menerusi program Gerobok Prihatin di 93 buah masjid yang dilaksanakan Pejabat Parlimen Hulu Terengganu sejak Mei lalu.

"Mesin ATM Beras dengan kapasiti 500 kilogram beras bagi setiap penggunaan itu dapat membantu mengurangkan bebanan penduduk kurang berkemampuan dan golongan memerlukan untuk mendapatkan bekalan makanan asas itu.

“Sesiapa sahaja yang memerlukan boleh datang pada bila-bila masa dan mengikut arahan yang dipaparkan untuk mendapatkan bekalan sehingga lima kilogram beras bagi setiap pengeluaran,” katanya selepas melancarkan Mesin ATM Beras di Masjid Pekan Ajil, semalam.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Sekretariat Food Bank Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan rakan strategik utama iaitu Kumpulan Legasi Z dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi menampung keperluan penduduk yang memerlukan bantuan makanan menerusi program itu, katanya, sebanyak satu tan beras diperuntukkan bagi setiap bulan.

Mesin ATM beras berkenaan akan diselia oleh pihak pengurusan kariah masjid dan mempunyai dua fungsi iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti yang ditetapkan selain mempunyai tabung khas untuk orang ramai menderma bagi mengisi bekalan beras di dalam mesin.