• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perkakas Elektrik Baru Musnah, Warga Emas Berputih Mata

TEMERLOH, 30 Disember – “Tidak sangka banjir seteruk ini, macam-macam perkakasan rumah baru dibeli tidak sempat digunapakai lama,” luah warga emas, Maimunah Sab yang terpaksa berputih mata melihat rumahnya di Kampung Lubuk Kechemas ditenggelami air banjir.

Nenek berusia 78 tahun itu menggambarkan bencana tersebut sebagai yang paling dahsyat sejak 10 tahun menetap di kampung tersebut.

“Perkakasan elektrik baharu dibeli tahun ini seperti mesin basuh, ketuhar mikro, mesin air dan sebagainya semua sekali tidak dapat diselamatkan, hanya dokumen penting sahaja sempat diselamatkan.

“Pada awal tahun (Januari), ada juga berlaku kenaikan paras air, tapi tidak begitu tinggi sehingga memasuki rumah, jadi kali ini memang saya tidak sangka,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Memahami keperitan yang dialami Maimunah, sukarelawan Terengganu melibatkan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) menghulurkan bantuan serta membersihkan kediaman tersebut sempena Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang 2021.

Sementara itu, Redza Iskandar, 32, cucu kepada warga emas tersebut menyifatkan kehadiran 103 sukarelawan di kawasan kejiranannya amat membantu dalam proses membersihkan 10 peratus lagi bahagian kediaman daripada sisa lumpur.

“Kalau tinggal saya dengan nenek saya sahaja akan mengambil masa lama, jadi dengan kehadiran ini saya sangat berharap saki bagi perkakasan rumah, perabot dan dinding dapat dibersihkan,” jelasnya.

Menurutnya, mereka berpindah ke rumah saudara di Taman Seri Layang setelah air dipercayai daripada Sungai Semantan meningkat sehingga ke paras kepala.