• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Miliki Anak Celebral Palsy Tidak Halang Suri Rumah Jadi Agen Kosmetik

DUNGUN, 12 Oktober - Walaupun mempunyai anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi ianya tidak pernah menghalang seorang suri rumah untuk menjadi agen kosmetik bagi menambah pendapatan Keluarga.

Muriati Abu Bakar, 33 ibu kepada Siti Nurzulaikha Mohd Zul Azri, 6, kanak-kanak yang menghidap 'Celebral Palsy' mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap permata hatinya.

Bekas guru tadika itu terpaksa berjauhan dengan suami yang bertugas di Setiu dan membuat keputusan tinggal bersama ibu bapanya memandangkan kediaman keluarga berdekatan dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampung Baru, tempat Zulaikha bersekolah dan memudahkannya untuk berulang alik ke Hospital Dungun. 

"Alhamdulillah sekarang Zulaikha tidak lagi mengalami sakit dan sawan, hanya ke hospital untuk fisioterapi sahaja," jelas ibu muda yang  turut dibantu oleh kedua orang tuanya menjaga anak syurga itu. 

Berkongsi cerita bagaimana dia boleh  menjadi agen kosmetik, Muriati berkata,  pada mulanya dia hanya menggunakan kosmetik jenama Nuraisya itu untuk kegunaan sendiri. 

"Mula-mula saya beli barang untuk pakai,  lepas tu 'promote-promote' saya  jadi 'dropship'. Bila sudah ada modal sikit-sikit, saya 'up' jadi agen," katanya. 

Muriati ditemui pemberita ketika ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang menghantar bantuan Tabung Darul Iman (TDI) berupa susu dan lampin pakai buang di rumahnya di Kampung Rhu Batil dekat sini semalam. 

Menurutnya, dia mula berjinak-jiinak dengan berniaga dari rumah sejak anak tunggalnya itu berusia dua tahun. 

"Alhamdulilah, berkat kesabaran, rezeki sentiasa masuk walaupun tidak banyak," ujarnya yang sememangnya minat berniaga. 


Tag: