• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Mini Slipway' Baharu Beri Manfaat Kepada 600 Nelayan

MARANG, 5 April -  Pembinaan 'mini slipway' atau tempat pembaikian bot dan bilik sejuk yang membabitkan peruntukan lebih RM700,000  nyata melegakan hampir 600 nelayan di daerah ini.

'Mini slipway' yang ditempatkan di Kampung Alur Pak Bang dan bilik sejuk di hadapan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu itu mula dibina pada akhir 2019 dan kini dapat digunakan sepenuhnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini golongan nelayan terpaksa membaiki bot di 'slipway' swasta dan ada antaranya terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu.

Katanya, kemudahan itu sudah diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Marang dan beliau pasti ia dapat mengurangkan kos-kos berkaitan.

“Manakala kewujudan bilik sejuk pula mampu meringankan  kudrat nelayan yang sebelum ini terpaksa menyediakan puluhan tong berisi ais untuk menyimpan hasil laut.

“Bilik sejuk mampu menyimpan sekurang-kurangnya 10 metrik tan ikan pada satu-satu masa, selain mampu mengekalkan daya tahan hasil laut dalam tempoh sebulan dengan penetapan suhu 0 hingga -25°C,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Mini Slipway  dan Cold Room di hadapan LKIM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah LKIM, Mastam Nodo.

Pada majlis yang sama, Ahmad Samsuri turut menyatakan persetujuan untuk membaik pulih Jeti Marang dan meluluskan peruntukan RM500,000.

Katanya, melalui peruntukan sama, turut akan dibina kedai makan, surau dan tandas.

“Kerajaan faham dengan keperluan nelayan di kawasan ini yang mahukan jeti yang lebih selesa untuk mendaratkan hasil laut.

“Oleh itu, dia berharap pihak berkaitan menyegerakan pembinaan kemudahan itu dan berharap dapat dimanfaatkan awal tahun depan,” katanya.


 

 


Tag: