• 25 Jan 2022 | 21 Jamadil Akhir 1443

'Minta Tolong Sambil Merangkak Ke Bilik Sebab Terlalu Sakit Kepala'

KUALA NERUS, 11 Julai - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada malam Sabtu, mengadu sakit kepala ketika merangkak ke pintu bilik kedua ibu bapanya di Kampung Bukit Berangan, Tepoh di sini. 

Bapanya, Mohd Rizaini Ghazali, 51, berkata, dia terdengar rintihan anaknya, Muhammad Adham Hazim, 21, yang mesra digelar Abang Ngah sekitar jam 5 pagi pada Sabtu. 

"Saya dan isteri terdengar dia minta tolong dalam keadaan merangkak ke bilik sambil beritahu kepala dia sakit sangat dan minta dibawa ke hospital," katanya. 

Menurut Mohd Rizaini, beliau segera membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia jam 10.52 malam tadi (Sabtu) ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU).


  
Beliau berkata, hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terhadap anaknya menunjukkan berlaku pendarahan akibat dua urat yang terputus di bahagian atas dan belakang kepala.
  
Dalam pada itu, Mohd Rizaini berkata, dia dan isteri, Ros Fazilah Salleh, 46, masih terkejut dengan pemergian anak keduanya itu secara tiba-tiba kerana tidak menunjukkan sebarang perubahan. 

Katanya, anaknya itu ada mengadu sakit kepala sejak Jumaat dan keluar ke kedai untuk mendapatkan panadol. 

"Saya perasan dia sering tidur lewat malam sejak kebelakangan ini tambahan pula dia akan menduduki peperiksaan akhir semester dua minggu lagi. 

"Walau apa pun yang berlaku, ajal maut urusan ALLAH SWT. Pada saya, sayang macam mana sekalipun kita terhadap anak, tidak dapat tandingi kasih sayang ALLAH SWT terhadap mereka. Apabila sudah sampai masa dia akan pergi. 

"Kami pasrah dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ambil sedikit masa untuk menerima kehilangan yang berlaku secara tiba-tiba ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Berangan di sini pada Ahad. 

Bercerita mengenai keperibadian arwah, Mohd Rizaini berkata, anaknya seorang yang disenangi dalam kalangan adik-beradik serta suka belajar. 

"Dia begitu disenangi dalam keluarga dan sering bergurau serta mengusik adik-adiknya.

"Saya juga perasan dia ada menjalankan perniagaan secara dalam talian sekadar sampingan untuk mengisi masa terluang," katanya. 

Jenazah Muhammad Adham Hazim yang merupakan pelajar  Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Berangan pada jam 11 pagi Ahad.
 
Dalam pada itu, satu lagi kes kematian melibatkan seorang lagi pelajar UiTM, Nur Natasya Ezreen Azemi, 22, yang merupakan pelajar UiTM Cawangan Merbok, Sungai Petani, Kedah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada jam 2.50 petang Jumaat akibat pendarahan dalam kepala. - SINAR HARIAN