• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Modal RM50, Kini Mampu Gaji Lapan Pekerja

KUALA NERUS, 22 November - Hanya bermodalkan RM50 sewaktu memulakan perniagaan pada 2017, pengusaha Popia Pisang (Popis) Muhammad Hanif Mat Zain, 27, kini mampu memperoleh pendapatan sehingga mencecah tiga angka sebulan.

Pada masa yang sama dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada lapan belia kampung iaitu empat pekerja untuk urusan mengoreng, promosi dan jualan, tiga orang bahagian memproses serta seorang ‘runner’.

Muhammad Hanif yang juga graduan Sains Kimia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, berkata pada awalnya, perniagaan itu hanya sekadar suka-suka dan mahu mencari pendapatan sampingan sebelum mendapat pekerjaan tetap sebaik tamat pengajian pada 2017.

Katanya, disebabkan rezeki yang diperoleh kini agak memuaskan, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan itu sehingga apa yang diusahakan itu benar-benar berjaya.

“Selain mampu menawarkan lebih ramai lagi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Pada masa akan datang mahu menambah beberapa cawangan di lokasi yang lebih strategik termasuk di kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu,“ katanya ketika ditemui di Kiosk Popis miliknya di Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini, baru-baru ini.

Muhammad Hanif turut memberitahu, kejayaannya itu adalah hasil dorongan ibu bapa dan bantuan kerajaan negeri di mana pernah mengikuti program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) pada 2018.

“Ilmu yang diperoleh daripada program ini sangat bermakna dan memberi kesan mendalam kepada saya.

“Pelbagai perkara dapat belajar antaranya strategi pemasaran,  keluar dan masuk duit, hala tuju perniagaan dan kaedah berdepan masalah,” katanya.

 


Tag: