• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Modul Itqan Insani Bangunkan 10 Segmen Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 21 April – Modul Itqan Insani menyasarkan pembangunan insan secara holistik kepada 10 segmen masyarakat selaras dengan dasar Islam yang dibawa kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam membangunkan aspek fizikal, intelektual dan spiritual melalui penghayatan modul yang digerakkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS).

“Segmen yang terlibat bermula daripada pegawai dan penjawat agama negeri sehinggalah ke peringkat tenaga buruh.

“Ia juga akan melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Guru KAFA di bawah kerajaan negeri, pimpinan ulamak dan pendakwah bebas, mahasiswa, remaja (belia dan beliawanis), peniaga dan usahawan serta golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempromosikan Modul Itqan Insani, di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini.

Mohd Nor turut mengajak seluruh masyarakat menyertai majlis pelancaran modul tersebut pada 28 April ini secara maya.

“Insya-Allah, perasmian akan dibuat oleh Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dapat ditonton secara rasmi di laman Facebook Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), TV Darul Iman atau ‘Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS),” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan modal tersebut bersama Program Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) sebahagian daripada teras pertama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda islam dan pembangunan modal insan.

Sementara itu, Mohd Nor turut mengajak warga islam dalam mengikuti program Ramadan Di Hati bersama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang berlangsung sepanjang bulan tersebut.

“Antara pengisian adalah program Sahur Rohani (5.30 pagi) dan Ihya Ramadan (10.00 pagi) yang diadakan secara langsung di Facebook DUAT dari Ahad hingga Khamis, manakala setiap hari akan diisi dengan rancangan seperti 'Time for Quran' (1.30 petang) dan 'Time for Hadis' (5.00 petang),” jelasnya.

Untuk maklumat lebih lanjut boleh melayari halaman page di Facebook @DUATterengganu.