• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mohd Nor Dilantik Speaker DUN Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Dato' Mohd Nor Hamzah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Penggal ke-15 di Majlis Angkat Sumpah ADUN di DUN  Terengganu di sini hari ini.

Turut dilantik, Timbalan Yang Dipertua DUN, Khazan Che Mat (ADUN Seberang Takir) menurut peruntukan Fasal 27 Bab Yang Kedua Undang-undang bagi Diri Kerajaan Terengganu, Fasal 1 dan 2 Perintah-perintah Tetap DUN serta Fasal 27 2 (a) Undang-undang yang sama. 

Perlantikan kedua-duanya dicadang oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong ADUN Paka, Dato' Satiful Bahari Mamat.

Untuk rekod, Mohd Nor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri sejak tahun 2018  sehingga tahun 2023 setelah PAS mendapat sebanyak 22 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan raya Umum Ke 14 (PRU14).

Sebagai ADUN Bukit Payung, beliau  menjalani tugasnya sejak tahun 2008 hingga kini setelah menang dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15). 

Pada tahun 2004 hingga 2008, Mohd Nor telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI).

Beliau juga menjadi Mudir Markas Pengajian Islam Wanita di Yayasan Islam Terengganu dari tahun 2002 hingga 2004.

Mohd Nor turut dilantik sebagai Penyelia Unit Pembangunan Insan Kerajaan Terengganu dari tahun 2000 hingga 2002.

Dalam bidang pendidikan, beliau  memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau juga memiliki Diploma Syariah dari Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) serta Diploma lepasan Ijazah dari Institusi Pengajian Islam Zamalek.

Pendidikan menengahnya diperoleh di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek Kuala Terengganu.

Dalam pada itu Khazan pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu yang memegang perfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri tahun 2008.

Sementara itu Majlis angkat sumpah ADUN didahului Dr Ahmad Samsuri (ADUN Rhu Rendang).


Tag: