Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
BESUT, 9 Februari – Program kepimpinan bersama 56 remaja, Monsoon KIAM: 'Kembara Al-Kahfi', anjuran Akademi Kepimpinan Al-Fateh (AKAF) berjaya mendidik generasi muda agar memiliki daya kepimpinan menerusi pendekatan holistik.
Dengan tema ‘Ini Bukan Sekadar Kem, Tetapi Satu Perjalanan’, peserta terbabit dalam pelbagai aktiviti pembangunan diri, kepimpinan dan fizikal yang dirancang untuk memperkasa minda serta memiliki semangat berpasukan.
Setiap aktiviti yang dilaksanakan menekankan elemen kepimpinan yang praktikal, merangkumi pembangunan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, serta pembentukan daya kepimpinan yang berkesan.
Peserta program, Izhamdi Abdullah berkata dia sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai program itu.
Menurut Izhamdi, program itu mengajarnya sudut pandangan baharu mengenai selok-belok kepimpinan.
"Program ini telah mengubah cara saya berfikir tentang erti kepimpinan melalui aktiviti yang mencabar seperti 'hiking' dan 'team building' benar-benar membantu saya membina keyakinan diri dan belajar pentingnya kerja berpasukan,” katanya.
Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui disini, baru-baru ini.
Turut berkongsi pengalaman, ibu kepada salah seorang peserta, Asma Wahap, menyuarakan persetujuannya terhadap program yang telah dijalankan itu.
"Platform Akademi Kepimpinan Al-Fateh ni sangat bagus untuk jadi tempat anak-anak berlatih. ‘Circle’ yang menyokong sangat penting.
“Nampak dia (Aisyah) pun gembira sangat dengan kawan-kawan baru walaupun baru kenal dalam program tu," ujar Asma.
Terdahulu, program yang berlangsung di Kem Damai Beach Resort selama tiga hari dua malam itu memberi pendedahan melalui pelbagai aktiviti bersifat holistik.
Antaranya termasuk Tadabbur Surah Al-Kahfi, Jati Diri Muslim, Pembinaan Karakter Pemimpin, Ilmu Menuju Kejayaan, aktiviti team building, hiking, flying fox, dan pelbagai modul dinamik lain.
Kejayaan Monsoon KIAM mendorong AKAF untuk menjadikannya sebagai program tahunan bagi melahirkan pemimpin muda yang mampu berbakti kepada masyarakat dan negara dengan mengekalkan nilai Islam dan identiti rakyat Terengganu.