Status Terkini : Baik Pulih Jalan Runtuh Felda Aring - Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di daerah ini bakal memastikan seramai 3,500 penduduk beberapa kampung di kawasan pedalaman menerima vaksin Covid-19, bulan ini.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid berkata, inisiatif digerakkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Jabatan Perpaduan Negara itu sekali gus akan membolehkan pihaknya mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok menjelang bulan depan.
Katanya, pendekatan suntikan menggunakan bas bergerak amat dialu-alukan bagi meningkatkan lagi kadar vaksinasi di daerah Hulu Terengganu yang masih perlahan.
"Sasaran itu berdasarkan tujuh program MOVAK yang akan diteruskan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadok, SK Tapah, SK Tok Randok, SK Getang, SK Kua dan SK Binjai Kertas.
"Berdasarkan rekod, penerima dos pertama vaksin Covid-19 kini mencecah 22 peratus manakala yang sudah lengkap dua dos sebanyak 36 peratus.
"Dengan kemudahan MOVAC, masyarakat di pedalaman tidak lagi berdepan masalah untuk hadir janji temu vaksin berikutan isu jarak dan pengangkutan kerana perkhidmatan ini dibawa ke lokasi kediaman mereka," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)berkata kepada pemberita selepas meninjau Program MOVAK di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Dalam program julung kali hari ini, seramai 360 penduduk selesai menerima vaksinasi dos pertama berkenaan.
Tambahnya, selepas ini pihak kesihatan akan gunakan perkhidmatan rumah ke rumah bagi mereka yang terlantar untuk vaksinasi.