• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

MPKK Berperanan Sebagai Duta Kerajaan

Kamaruzaman bersama Dr. Azman bergambar bersama-sama peserta Kem Jati Diri J3K bagi daerah Dungun di Akademi Bomba Wakaf Tapai , hari ini
Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan memainkan peranan sebagai duta kerajaan negeri bagi merealisasikan`Terengganu Maju, Berkat,  Sejahtera'.

Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah berkata, MPKK akan bertindak sebagai duta atau agen yang berada paling dekat dalam komunikasi secara langsung dengan rakyat.

"Ini bermakna pimpinan kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada maklumat yang datang dari MPKK.

"Mengapa kita berkata demikian...sebab MPKK bawa hasil komunikasi terus dari rakyat di bawah, itu yang dikatakan berperanan sebagai duta kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Kem Jati Diri J3K Daerah Dungun di Akademi Bomba, Wakad Tapai, Marang, hari ini.

Kamaruzaman turut berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh MPKK dalam Kem Jati Diri yang merupakan sesi pertama sebaik sahaja dilantik memikul amanah sebagai pemimpin masyarakat.

"Saya melihat jati diri yang tinggi di kalangan MPKK yang hadir, sangat bermotivasi dan bersemangat tinggi yang merupakan elemen penting untuk melaksanakan inspirasi kerajaan Maju, Berkat dan Sejahtera dapat dilaksanakan.

"Begitu juga amalan budaya politik matang dan sejahtera yang diamalkan menunjukkan hubungan kerajaan negeri dengan parti yang pernah menjadi kerajaan negeri tidak mempunyai jurang pemisah.

"UMNO yang kehilangan ibu dan ayah nampaknya lebih selesa dengan apa yang ada sekarang, lebih tenang dan matang," ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, pengalaman pada 1999 mengajar kerajaan negeri yang ada sekarang supaya lebih berhati-hati dalam mentadbir supaya peristiwa itu tidak berulang lagi.

Tag: