• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

MPKK Lot Sri Jaya Tubuh Pasukan Sukarelawan Kawal Kampung

Kemaman, 18 Oktober - Cakna akan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lot Sri Jaya telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pasukan sukarelawan kawalan keselamatan di kampung berkenaan baru-baru ini.

Pengerusinya, Syed Mohamad Syed Soh menegaskan bahawa pasukan sukarelawan ini bertanggungjawab menjaga keselamatan kawasan sekitar Kampung Lot Sri Jaya seperti termasuk di laluan keluar dan masuk.

Operasi kawalan keselamatan yang bermula seawal jam 12 tengah malam akan dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim turut meluangkan masa hadir merasmikan pos kawalan keselamatan MPKK Lot Sri Jaya ini.

“Usaha seperti ini wajar dicontohi oleh banyak pihak terutama dalam membanteras kegiatan yang tidak bermoral di kampung masing-masing.

“Semoga dengan adanya inisiatif seperti ini, keselamatan penduduk kampung akan lebih terjamin selain dapat melahirkan para pemuda yang berbakti kepada masyarakat dengan menyertai pasukan keselamatan seperti ini,” tambahnya ketika berucapkan merasmikan pos tersebut di sini baru-baru ini.

Pasukan sukarelawan kawalan kampung yang terdiri daripada pemuda dan penduduk kampung berkenaan beroperasi di bawah kendalian Biro Keselamatan MPKK Lot Sri Jaya.

Operasi kawalan keselamatan yang bermula sejak 1 Jun lalu dimulakan dengan taklimat keselamatan daripada Ketua Balai Polis Chukai, Mohamad Ramizan Ramli di pos kawalan kampung tersebut.

Taklimat yang diadakan pada hari pertama operasi dijalankan turut dihadiri oleh Ketua Pondok Polis Binjai, Nasri dan tiga anggota polis yang lain.


Tag: