• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

MPKK Mahu Popularkan Kembali Salak Dendang



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 27 Ogos- Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dendang, Abdul Malik Rani berhasrat mempopularkan kembali penanaman salak di kampung berkenaan.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, kesedaran dan minat perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda agar Salak Dendang dapat dikomersialkan seperti dahulu.

"Sebagaimana dahulunya Kampung Dendang menjadi tarikan dan dilawati oleh pelbagai pihak termasuk penyelidik dan pelajar universiti. Pada ketika itu terdapat deretan gerai penduduk sepanjang jalan yang menjalankan aktiviti menjual salak.

"Jika ada kesungguhan daripada generasi muda tidak mustahil ianya dapat mengembalikan zaman kegemilangannya dan untuk mendapatkan benih pokok salak tidak sukar kerana anak muda boleh dapatkannya termasuk khidmat nasihat daripada pegawai pertanian," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan tanaman salak di Kampung Dendang, semalam.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pertanian Regulatory Pejabat Pertanian Daerah Dungun, Mohd Khairudin Ismail mengesahkan bahawa satu ketika dahulu Kampung Dendang terkenal dan cukup sinonim dengan salak.

"Sehinggakan kita masih ingat gaji pengusaha salak mengalahkan gaji-gaji pegawai kerajaan pada tahun 80an dahulu dengan perolehan hasil mencecah RM 10,000 setahun.

"Jika ada semangat dari generasi baru sememangnya Salak Dendang boleh dipulihkan kembali,"katanya.

Sementara itu,  pengusaha salak Ahmad Yusof, 73, merupakan diantara pengusaha salak yang paling lama di kampung berkenaan dan masih bertahan hingga kini.

"Saya pernah dilawati oleh penyelidik dari MARDI, dan pernah memenangi tempat kedua pertandingan MAHA (Malaysian Agriculture And Agrotourism Show) sewaktu dahulu apabila dibawa oleh MARDI kerana memiliki buah salak yang besar serta mempunyai keunikkan yang tersendiri.

"Saya yakin jika dipulihkan kembali Kampung Dendang boleh menjadi rujukan penyelidikan bagi penanaman salak dan saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan termasuk cara penanaman dan sebagainya," ujarnya.

Tag: